SELAMAT DATANG

Saturday, February 13, 2010

MENGINGATI KELAHIRAN RASULULLAH SAW DAN TELADANNYA.


Alhamdulillah, pada hari ini kita telah melangkah ke bulan Rabiul Awal iaitu satu bulan di mana peristiwa Aminah binti Wahab memputerakan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana satu bulan yang penuh bersejarah dan bermakna dalam mengubah seluruh peradaban manusia, maka ini disambut dan dirayakan oleh umat Islam seluruh dunia. di negara kita juga meraikan detik-detik sejarah ini dengan cara kita sendiri. Di samping mewartakan sebagai cuti umum pada hari tersebut. Kita juga mengisi bulan ini dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Pada tahun 571 Masihi atau dikenali dengan tahun gajah baginda Rasulullah telah dilahirkan. Tahun itu juga dikenali sebagai 'Ammul Fil kerana serentak dengan satu peristiwa iaitu serangan tentera Habsyah yang bergajah hendak meruntuhkan Kaabah untuk mengalihkan perhatian orang-orang Arab agar berkiblat dan mengerjakan haji ke gereja mereka di Yaman. Peristiwa itu digambarkan di dalam al-Quran dengan satu surah yang khusus di dalam surah al-Fil yang bermaksud:
" Dan Allah telah menghantarkan kepada mereka rombongan burung-burung yang berpasukan yang melontar mereka dengan batu-batu dari jenis tanah yang dibakar keras. Lalu Allah menjadikan mereka hancur seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat."
Di mana dengan kekuasaan Allah akhirnya tentera Habsyah yang bergajah itu musnah dihujani butir-butir batu yang digugurkan oleh burung-burung tersebut.

Kita sedia maklum bahawa mengadakan acara sambutan Maulidur Rasul ini tidak boleh dianggap sebagai satu upacara ibadat khusus, tetapi tujuan kita mengadakan tidaklah dapat dinafikan mempunyai pengertian yang besar dan penting. Kerana dalam upacara memperingati Maulidur Rasul ini kita dapat mengulang kaji sejarah hidup dan perjuangan Rasulullah yang penuh dengan contoh-contoh dan teladan sebagaimana digambarkan oleh al-Quran di dalam surahal-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat kelak serta sering menyebut dan mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya."
Di antara yang terpenting untuk menjadi perhatian kita sebagai umat Islam bahawa tugas baginda diutuskan tidak terbatas kepada satu-satu kaum dan bangsa sahaja seperti rasul-rasul yang terdahulu. Kalau Nabi Allah Musa diutuskan khusus untuk umat Yahudi, tetapi Nabi Muhammad SAW adalah untuk manusia seluruh, seperti mana Allah menjelaskan di dalam al-Quran surah al-Anbia' ayat 107 yang bermaksud :
“Tidak kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan pembawa rahmat ke seluruh alam.”
Mafhum daripada ayat ini terdapat dua kebenaran,

Pertama: Tugas besar Nabi Muhammad SAW dan perutusan-Nya adalah untuk umat manusia seluruh meliputi semua bangsa dan bahasa tanpa sebarang sekatan di daerah dan negeri.
Kedua : Ajaran yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah mencari rahmat kebahagiaan dan perdamaian kepada dunia seluruhnya bukan untuk kacau-bilau dan huru-hara sebagaimana yang sedang dialami oleh dunia pada hari ini.

Sejarah perayaan baginda memang tidak pernah diadakan di zaman baginda masih hidup dan di zaman Khulafa Ar Rasyidin atau para sahabat, tetapi perayaan memperingati Maulidur Rasul buat pertama kali diadakan pada abad ke lima hijrah.

Peringatan Maulidur Rasul yang diadakan secara besar-besaran itu dilakukan oleh Raja Abu Said Al-Muzaffar Arbil di Iraq dengan peruntukan perbelanjaan sebanyak 300,000 dinar. Tujuan mengadakan sambutan Maulidur Rasul ketika itu oleh Raja Abu Said Al-Muzaffar adalah untuk lahirkan semangat dan menghayati syiar Islam. Namun begitu peristiwa sambutan ini mencetuskan kontrovesi di kalangan ulama'. Ada sesetengah ulama' mengangapkan bahawa sambutan perayaan Maulidur Rasul diharuskan dan ada pula yang mengatakan amalan ini adalah bid'ah. Kalau kita mengatakan ia bid'ah tetapi perayaan itu tidak ada salahnya kita merayakan upacara sambutan Maulidur Rasul. Kerana mengikut pandangan ulama' bid'ah itu terbahagi kepada dua iaitu bid'ah Hasanah (bid'ah baik) dan Bid'ah Dilalah (bid'ah sesat). Dalam hal ini termasuk dalam bid'ah Hasanah (baik). Alasan ini berdasarkan kepada kaedah hadith yang bermaksud:
"Setiap perkara yang dipandang elok oleh orang ramai, maka di sisi Allah adalah elok”.

Justeru itu, usaha-usaha yang baik ini khususnya sambutan perayaan seperti ini jika tidak dilakukan setiap tahun sebagai memperingati baginda Rasulullah, kemungkinan generasi akan datang tidak akan mengenali siapa dia Rasulullah.

Dalam menghadapi pergolakan yang semakin hangat dan mencabar hari ini, sudah sampai masanya kini bagi kita umat Islam membuat analisa dan kajian serta perhitungan bahawa setakat dan sejauh manakah kita telah mencontohi cara hidup Rasulullah dalam setiap aspek. Apakah kita sudah mencontohi model Rasulullah sebagai seorang peniaga yang amanah yang mampu membawa keuntungan besar kepada majikan. Kenapakah sebagai seorang kakitangan awam kita tidak bekerja penuh amanah untuk kemajuan majikan kita iaitu kerajaan. Mengapakah kita tidak mengambil contoh amanah Rasulullah sebagai matlamat untuk kemakmuran semua. Mengapa kebijaksanaan Rasulullah sebagai pendakwah , pemimpin negara, hakim, panglima perang, pendidik dan pelbagai sifat keagungan sebagai manusia biasa itu kita tidak mengambil sebagai model. Sudah pasti umat Islam pada masa ini tidak berada dalam tahap yang ada sekarang. Sekarang ini kita lebih menenangi model-model yang diterima dari barat dan timur, sedangkan semua model itu adalah saduran dari model yang sudah diambil dari Rasulullah yang diolahkan mengikut kepentingan kebudayaan dan agama mereka. Kerana model yang dalam bentuk itu tidak original, tidak boleh bertahan lama. Lantaran itu, umat Islam sekarang ia berada dalam tahap yang amat menyedihkan disebabkan kesalahan mereka sendiri. Kita tidak benar-benar mematuhi ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW. Kalau perjuangan Rasulullah dan para sahabat baginda meletakkan kepentingan Islam mengatasi segala-galanya, tetapi kita umat Islam hari ini mungkin meletakkan kepentingan-kepentingan diri mengatasi kepentingan-kepentingan lain. Oleh itu, sempena bulan Rabiul Awal ini, marilah kita kembali kepada ajaran Allah dan Rasul-Nya dalam ertikata yang sebenarnya.

Surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud.
"Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan dia serta amlkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukan maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah , sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)".

No comments:

Post a Comment